Thursday, July 10, 2008

The Silent Killer



Sesiapa sahaja mampu membunuh kita. Sejarah politik dan pergolakan dunia telah menyaksikan pengkhianatan berlaku walau oleh sahabat baik sendiri.
Tahalluf memang memedihkan, namun ia mesti diharmonikan. Jika kita berseorangan untuk mendokong perjuangan, kita tidak akan menjadi kuat.
Namun apa yang menjadi ketakutan yang mesti diatasi segera ialah, perasaan takutkan 'sang kucing' yang nampak alim tetapi rupanya ia merupakan pembunuh yang kejam.

Untuk Islam, Bukan PERSATUAN Islam



Kisah peperangan yang dilalui oleh Nabi SAW benar-benar memberikan pengajaran yang bermakna kepada kita semua sebagai umatnya. Perang bagi nabi bukan bertujuan menghancurkan musuh semata-mata, malah yang sebetulnya ialah menghapuskan kejahatan dan memalingkan musuh kepada kebenaran.
Apabila kita berperang kerana membela bangsa, maka bukan jihad namanya. Jika kita berperang kerana kepentingan diri atau gerakan, itu juga bukan jihad. Berperang dalam erti kata sebenar ialah kerana ingin menegakkan kalimah Allah. Maka Allah SWT telah meletakkan syarat-syarat asasi yang mesti diikuti dalam medan peperangan.
Kesatuan sangat penting dalam berjihad. Berada dalam satu saff yang teratur, taat kepada perintah ketua, mendahulukan yang terpenting, jangan pentingkan diri sendiri, memulakan dengan nama Allah yang Maha Mulia, menjauhi maksiat dan memperkasakan taat, serta sentiasa memperbetulkan niat.
Saya ucapkan selamat berseida buat semua jentera yang bakal berjihad. Pamerkan keizzahan Islam, pasti gerakan anda digeruni. Jangan hanya izzahkan persatuan Islam kelak anda akan diketawakan. Moga anda memahami maksud tersirat saya.

Jangan Omong-Omong Kosong



Pergolakan politik yang berlaku pada masa sekarang nyatanya memberikan satu impak dan implikasi yang agak teruk khususnya terhadap kebajikan rakyat. Setiap parti politik berlumba-lumba untuk mengejar kekuasaan dengan pelbagai tujuan. Saat dakwah memasuki dunia politik..
Apa yang saya bimbangkan ialah, dalam asyik mengejar kekuasaan, kita terlupa perjuangan sebenar. Tarbiah terbantut, kebajikan rakyat tidak terbela. Menariknya, ramai yang melaungkan kebajikan dan pembelaan, tetapi ia hanya laungan, bukannya tindakan. Saya sangat terpukul dengan sinisan Cikgu Azmi Teras. Ya, perjuangan bukan hanya dengan kata-kata, tetapi tindakan. Bagaimana kita menghadapi segala pergolakan dunia dalam politik dan dalam masa yang sama kita benar-benar mempraktikkan apa yang kita laungkan. Jangan hanya pandai menyalahkan kerajaan kalau kita sendiri tidak mampu untuk mengemudi persatuan yang kecil dengan baik. Jangan hanya pandai mengkritik tapi tindakan sifar. Fikir-fikirkan.
Yang penting, tempuhi cabaran yang ada, walau ada yang cuba menghalang seperti ilustrasi perempuan dan kuda putihnya.

Wednesday, July 9, 2008

Menuntuni Naga, Bukan Sekadar Mengekori



Saya tertarik dengan pandangan Ustaz Hasrizal yang menyatakan peri pentingnya untuk gerakan Islam memperbaharui manhaj tarbiah masa kini. Ya, satu bentuk tarbiah dan gerakan yang baru mesti difahami pasca PRU ke-12. Ahli gerakan mesti lebih memahami Fiqh al-Tarbiah dan Fiqh al-Harakah dalam bentuk yang lebih baru dan terkini, sesuai dengan realiti semasa. Jika kita masih menggunakan manhaj yang lama, maka selamanya kita akan berada di bawah takuk yang lama. Orang yang hebat mesti menuntuni naga, buka mengekori naga. Seseorang itu bukan dilahirkan untuk negerinya sahaja, malah ia dilahirkan untuk dunia. Saya mengesyorkan agar alim ulama' dan semua ahli gerakan Islam yang terdiri daripadapelbagai kemahiran dan kepakaran untuk berbincang isu secara lebih serius. Di peringkat Gamis sendiri, kita telah mengadakan satu plan bertindak untuk memperbaharui semula sistem tarbiah yang sedia ada.

Friday, July 4, 2008

Motivasi



motivasi bermaksud memberikan panduan dan semangat, bukannya meruntuh dan menyalahkan. Motivasi ialah bermaksud memberikan kepercayaan dan menilai luaran, bukannya berburuk sangka dan memikirkan yang buruk. Orang yang bermotivasi menganggap kegagalan sebagai tiket menuju kemenangan, maka saya kira tidak salah saya mengucapkan tahniah kepada yang gagal. Orang yang memberikan motivasi pula lebih banyak menggunakan bahasa hati dan kelembutan, bukannya banyak bercakap dan banyak memberikan nasihat. Jangan asyik menghukum, tetapi berilah semangat dan kekuatan. Orang tidak suka dihukum, sebagaimana kita juga tidak suka dihukum.

Tuesday, July 1, 2008

Abang Faka'



Saya hampir menangis mendengar cerita abang faka’. Sudah hampir tiga tahun gaji beliau sebagai pensyarah telah dibekukan, gara-gara mengambil langkah untuk bertanding sebagai calon tajaan Parti Mahasiswa Negara (PMN). Kalau nak marahkan beliau, janganlah sampai begitu. Tak kesian ke diorang kepada abang faka’ sehingga sedemikian rupa beliau dianiaya.

Abang Faka’ sememangnya melakukan Harakiri atau terjunan kamikaze apabila memutuskan untuk bertanding menentang PM Malaysia dalam PRU ke -12 baru-baru ini. Beliau sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan dan feed-back yang negatif hasil tindakan berani beliau. Tindakan beliau patut dipuji dan sepatutnya saya berasa malu diri.

Apa sangat kisah hidup saya jika dibandingkan dengan pengorbanan beliau. Apalah saya jika dibandingkan dengan jasa beliau. Keberanian, kesungguhan dan komitmen beliau ternyata banyak meransang saya untuk terus melangkah dengan lebih berani dalam dunia gerakan Islam ini.

Ustaz Hisomuddin demikian juga. Apa yang termampu saya luahkan ialah, teruskan perjuangan kalian, saya akan tetap bersama idealism kalian. Namun ingin juga saya nyatakan, saya juga ada langkah tersendiri dalam hidup ini, dan saya mesti menentukannya dengan keberanian ijtihad saya.

Bai'ah Nescafe



Saya telah dipanggil untuk temuduga sebagai pensyarah di Kolej Negeri di Seremban 2. Apabila sampai di sana, rupanya saya bukannya dipanggil untuk interview sebaliknya terus diterima bekerja, sedangkan saya belum lagi memohon pekerjaan tersebut kerana ingin memfokuskan kepada Gamis.

Rupanya seorang ustaz telah menghantar resume saya kepada pihak kolej negeri. Saya sedikit terkedu kerana terpaksa memulakan kerja pada awal Julai sedangkan saya langsung tidak bersedia dan masih lagi ingin menumpukan kerja-kerja dalam Gamis. Malah apa yang lebih mengejutkan saya ialah saya ditawarkan untuk menjadi Pegawai Hep yang mesti menguatkuasakan Auku bukannya pensyarah sebagaimana yang saya maklumkan sebelum ini.

Seminggu kemudian, saya menolak dengan hati yang sangat berat. Saya telah meminta pandangan daripada ramai pihak dan murabbi saya ternyata tidak bersetuju untuk saya meninggalkan KL sebaliknya meminta saya untuk meneruskan tugasan di bumi yang penuh dengan lumpur ini.

Tidak lama kemudian, seseorang secara berseloroh menawarkan kerja yang bergaji lumayan kepada saya. Sekali lagi saya terkedu. Apatah lagi kawan-kawan saya yang lain telah bekerja dan mendapat gaji yang lumayan, malah ada yang mencecah RM 2000 ke atas seawal kerja. Nafsu saya membisik, hati saya terusik.

Baru sahaja saya mendapat tawaran yang menggugatkan hati itu, sekali lagi saya ditawarkan kerja sebagai pensyarah di sebuah kolej yang telah lama saya idamkan. Saya juga diminta untuk membina pemikiran dan daya haraki kalangan pelajar kolej tersebut. Sekali lagi dengan hati yang berat saya menolak kerja yang menjadi impian saya sejak sekian lama.

Saya menyatakan hal tersebut kepada ibu saya. Alhamdulillah ternyata ibu seorang yang memahami dan tidak bersikap mengongkong anaknya. Namun kata ibu, peluang yang baik hanya datang sekali. Balas saya, peluang yang baik itu adalah berada dalam Gamis.

Sebetulnya saya, Ustaz Riduan Othman (Timb Presiden Gamis) dan Ustaz Syaari (SU Gamis) telah berjanji setia akan menumpukan gerak kerja dakwah secara sepenuh masa dalam meningkatkan kualiti gerakan anak muda masa sekarang. Kami telah menyatakan prinsip kami untuk hidup senang dan susah bersama. Biar apa pun yang berlaku, kami tetap dengan prinsip dan janji setia kami dan kami tidak akan melanggarnya.

Satu malam, kami meletakkan tangan kami bertiga di atas secawan air Nescafe seraya berbai’ah dalam hati untuk terus bersama menegakkan syiar Islam. Erm, saya bersuara perlahan, Inilah Bai’ah Nescafe”.

Moga Allah memurahkan rezeki keimanan kepada kami…

Anak Yang Baik



Anak yang soleh/ah merupakan idaman setiap ibu bapa. Lihatlah anak yang kecil ini, rupanya comel dan menawan sekali. Anak yang baik merupakan permata hati ibu bapa. Maka, kita seharusnya menjadi anak yang baik kepada ibu bapa, di samping kita berusaha mendidik anak-anak kita kelak. Saya hadiahkan tulisan ini kepada sahabat saya Syed Faiz dan Hafiz Hassan, juga Thohiroh, Nurul Izza, Nasaie dan isteri dan lain-lain. Tidak lupa kepada Abang Tarmizi mantan presiden Gamis.

Mereka Saudara Kita



Apabila melihat kepada saudara kita yang berada di Sudan dan di negara-negara yang mengalami penderitaan dan kebuluran, hati terasa sangat sayu. Mereka terlalu kurus sehingga menampakkan tulang-tulang mereka, kepala tampak besar, muka sangat pucat, sehingga ada kalangan mereka yang menadah air kencing lembu untuk minuman meneruskan hidup. Apa sumbangan kita terhadap mereka? Ya Allah, jangan Engkau uji kami, keluarga kami dan keturunan kami sedemikian rupa, dan banulah mereka ya Allah. Ayuh, sama-sama kita insafi dan bincangkan dalam usrah kita.

Monday, June 30, 2008

Bumi Itu Bukannya Empat Segi



Ahli falsafah terdahulu memikirkan bahawa bumi ini hanya empat segi, dan ada sempadannya. Apabila kapal belayar, maka i tidak boleh belayar terlalu jauh kerana dibimbangi akan jatuh apabila melepasi sempadan. Rupanya bumi ini bulat. Sebenanrnya ia sama sahaja dengan potensi dan wibawa seseorang. Terdapat orang yang punya potensi dan wibawa yang tinggi, tetapi mereka diikat dan terikat dengan sesuatu sehingga menjejaskan keupayan mereka. Orang yang mempunyai keyakinan tinggi dan sentiasa ingin mengasah bakat dan menggilap potensinya pasti akan jadi seperti bumi yang bulat, manakala orang yang dibayangi keterikatan akan menjadi bumi empat segi,..yang ada garis sempadannya.