Wednesday, July 16, 2008

Inilah Hidupku

Kadang-kadang, rasa kecil juga hati, cemburu datang bertalu-talu, rasaingin ‘gugur’ bagaikan helainan dedauanan kering datang bersinggah. Rasa cemburu dan geram itu kerap kali juga mengusik hati, dan sering kali juga membuatkan aku terkedu dan sendu.

Menjadi orang penting dalam persatuan yang dinggap pemberontak no. 1 di UM kadang-kdang membuatkan hati pedih. Ada kala, ketika orang lain sibuk menyertai pelbagai seminar, kita pula terpaksa berhempas-pulas membuat kerja lain. Saya masih ingat, ketika itu ada seminar peringkat kebangsaan diadakan di Akademi Islam tetapi saya dengan berat hati terpaksa melupakannya kerana menumpukan gerak kerja pilihan raya kampus. Tapi hati mana tidak pedih.

Beberapa kali juga kursus kahwin diadakan namun tidak pernah sempat untuk saya meluangkan masa, sedangkan yang lain seronok je dengar cerita pasal kahwin. Kursus tu takpelah, tetapi bagaimana dengan seminar-seminar ilmu? Saya masih ingat program dakwah yang menghadirkan Siddiq Fadzil dan Shah Kirit, sekali lagi saya terpaksa melupakannya. Adik saya Wasif juga kerap kali menjemput saya untuk program keilmuan PKPIM tetapi banyak juga terpaksa saya lupakan.

Geram juga kadang-kadang. Jauh sudut hati, ah, pedulikan jamaah, pedulikan Islam, lebih baik aku masuh seminar je. Tetapi seminar hanya memberikan kebaikan untuk diriku seorang sedangkan gerak kerja jamaah adalah untuk umum.

Orang lain mungkin tidak tahu, bahawa kami hidup membela kebajikan mereka. Kami sanggup dihadapkan di mahkamah Universiti, dimarahi pihak pentadbiran, berdepan dengan pelbagai cabaran, semuanya untuk kebaikan student tetapi tengok-tengok, student pula menyalahkan kami. Kami berjuang untuk merendahkan kadar caj perkhidmatan Ptptn malah meniadakannya sama sekali, tengok-tengok student pula yang membenci kami. Walhal kami berjuang untuk mereka. Ah, pedulikan. Mereka bukan faham pun.

Siapa tidak cemburu apabila melihat rakan-rakan berkursus bahasa Arab di Syria untuk dua bulan. Rasa cemburu menampar-nampar ulu hati, namun apakan daya. Saya membujuk hati yang lara, jika kalian ke Syria untuk berseronok dengan ilmu, maka saya di Malaysia untuk bermain dengan duri-duri perjuangan. Jika kalian bertemu al-Zuhayli dan al-Buti di sana, saya pula bertemu dengan rakyat yang menderita kebuluran di sini. Jika kalian tenggelam dengan asyik-makhsyuk ilmu, saya pula sibuk mengesat air mata duka masyarakat.

Saya katakan kepada seseorang yang akrab dengan saya ketika kami bertemu di bawah teduhan pohon di masjid UIA PJ, bahawa saya tidak mahu hidup sebagaimana orang lain. Benar, orang lain bekerja gaji ribuan ringgit, namun saya tidak puas dengan gaji ribuan ringgit jika masa tidak dipenuhkan dengan gerak kerja Islam. Lalu gaji ribuan itu saya tinggalkan. Benar, orang lain mungkin puas bekerja makan gaji dan berada di pejabat, kelak mereka tidak perlu bimbang untuk membalas budi orang tua, namun saya tidak puas jika tiada usaha membentuk generasi muda dengan sebaiknya. Saya puas dengan hidup sekarang. Duit tidak pernah cukup, tetapi jiwa senang dengan gerak kerja ini.

Saya masih ingat, saya mengumpul-ngumpul duit hasil kuliah-kuliah, lebih seribu itu yang pasti. Duit itu saya kumpulkan kerana saya ingin mendirikan Bait Muslim dengan hasil usaha saya sendiri, tanpa bergantung kepada orang. Namun apabila melihat sahabat yang kadang-kadang tidak berduit, hati saya tidak tenang. Lalu duit itu yang ribuan hanya tinggal beberapa keping sahaja. Sekarang, saya cuba lagi mengumpulkan wang untuk keperluan, namun sekejap saya ke Perak, sekejap ke Kedah, sekejap ke Kelantan, jadi, duit pasti saya gunakan. Akhirnya, saya tinggal tidak berduit. Tetapi apalah sangat kisah hidup yang tidak seberapa ini jika dibandingkan dengan pejuang dahulu yang pernah makan nasi berlaukkan telur berasama keluarga beberapa lama. Apalah sangat kisah hidup saya jika dibandingkan beberapa pejuang yang hanya makan magge beberapa minggu.

Lalu saya katakana kepada teman saya di petang itu, saya inginkan hidup yang susah. Orang yang hebat, semuanya lahir dalam kesusahan. Malah mereka sengaja menempuh hidup yang susah kerana kesusahan tidak melekakan, malah kesusahan mengajar erti berdikari. Saya katakan kepadanya lagi, saya tidak pernah terdidik dengan kesenangan, malah sejak kecil saya hidup berpada-pada.

Ya, semasa di bangku sekolah rendah dulu, ma selalu memberikan duit kepada kami adik beradik 50 sen sahaaj setiap hari. Ketika itu harga kuih 10 sen dan air juga begitu, manakala nasi 30 sen atau 50 sen harganya. Saya makan sekadarnya. Beberapa kawan terkejut melihat saya. Katanya kamu anak orang yang senang tetapi hanya berbekalkan duit 50 sen, sedangkan kami berbekalkan duit 1 ringgit.

Apabila masuk ke sekolah menengah, saya cukup hairan dengan ramai sahabat saya yang punya duit yang banyak. Walhal tidaklah banyak sangat, tetapi di dalam dompet itu terdapat banyak juga helaian merah. Sedangkan saya sehingga tingkatan 5 tidak pernah mempunyai dompet. Saya tidak pandaia menyimpan wang di dalam dompet. Saya tidak pernah merasai duit yang banyak untuk dibelanjakan. Jika ma ingin membelikan baju, saya rasakan ia sangat membazir dan menyusahkan ma sahaja. Jadi, biarkan, baju yang lama masih banyak. Baju abah pun banyak lagi.

Sehinggalah apabila saya ditawarkan meneruskan pengajian di Kusza, kakak membelikan saya dompet, yang saya gunakan sehinggakan ke hari ini. Agak lusuh, tetapi masih terjaga. Saya bertekad tidak akan menukarkannya kerana inilah pemberikan kakak yang perlu saya hargai. Lalu pernah seharian di Kusza saya hanya menghilangkan dahaga dengan air watercooler dan menyahkan rasa lapar dengan kurma dan kismis yang dibawa dari rumah. Wajah hari itu, pastinya pucat menahan lapar.

Saya sangat tidak suka membazir. Saya juga tidak suka bermewah. Mungkin ketika saya menjadi presiden Pmi, beberapa orang marahkan saya kerana selekeh. Ah, pedulikan. Biar saya luahkan dalam blog ini, saya bukan sengaja tidak mahu membelikan pakaian yang baru. Saya bukan sengaja mengenakan baju dan seluar abah yang besar. Saya bukan sengaja membelikan kasut yang berharga Cuma 12 ringgit atau 15 ringgit. Saya bukan sengaja membelikan baju yang mencecah 20 ringgit dan sehelei dua yang mencecah 40 ringgit. Tetapi saya bukannya berduit sangat, dan saya tidak rela menghabiskan duit saya untuk perkara-perkara tersebut sedangkan ramai sahabat saya yang kelaparan.

Apabila saya masuk ke kusza, saya terkejut melihat ramai orang yang bercakap sendirian. Oh rupanya mereka bercakap dengan handset. Saya tidak mengetahui perkara tersebut kerana saya baru memegang handset yang harganya sekarang boleh didapati dengan semurah 50 ringgit.

Saya biarkan sahaja orang memarahi saya, kerana mereka inginkan saya presiden yang menjaga imej. Pernah saya ketiadaan seluar, lalu saya sarungkan seluar hitam yang sebenarnya seluar baju melayu. Sampai sekarang itulah seluar yang saya pakai ke sana ke sini, kerana saya tidak punya seluar yang baik untuk dipakai.

Bagi saya yang tidak pernah merasa duit yang banyak, apabila saya mendapati duit dalam bank ada dalam sekitar 300, saya rasa saya sangat kaya. Ya, saya sangat kaya. Lalu saya menggunakannya untuk membelanja kawan-kawan saya. Saya punya ptptn yang sangat sedikit. Ramai yang tidak mempercayaianya. Ya, hanya 3300, untuk 3 tahun. 3300 itu jumlah keseluruhannya. Lalu, saya tidak pernah mengusik duit baki yang terdapat dalam bank sehinggalah ke sem terakhir, itupun untuk membayar yuran yang belum habis-habis lagi.

Namun kadang-kadang saya terasa. Rakan-rakan saya yang tampaknya tidak berduit, tetapi ada kalangan mereka yang terlalu bermewah. Bermewah tidak mengapa, tetapi apabila terlalu bermewah, ini yang tidak dapat saya terima. Saya mengamalkan prinsip bersederhana, mewarisi kehidupan Gandhi yang berhati mulia. Itu yang saya cuba.

Saya bilang lagi kepada teman saya yang amat saya hormati, bahawa saya ingin punya wang yang banyak, menjadi kaya raya, untuk membantu jamaah dan sahabat. Perkara pertama saya lakukan bila saya memiliki wang banyak adalah menghulurkan bantuan sebanyak mungkin kepada yang memiliki masalah kewangan.

Jika saya pernah melupakan hasrat ke Syria kerana Gamis, maka saya juga lupakan hasrat saya untuk bermewah kerana sahabat. Oh, maafkan saya.

Tuesday, July 15, 2008

Apa Tujuan Tarbiah



Apa tujuan tarbiah sebenarnya? Mungkin bila kita bertanyakan soalan ini, pelbagai jawapan yang akan timbul. Saya ada jawapan, anda pun ada jawapan. Jadi, apakah jawapan saya sahaja yang betul dan pandangan anda silap.

Mungkin ada orang kata tarbiah bertujuan membina diri dan menggilap potensi, serta menjaganya supaya tidak melalukan perkara yang merugikan. Orang politik mungkin kata tarbiah adalah untuk melahirkan politikus yang handalan. Takpelah, asalkan jangan melahirkan tikus-tikus yang berkeliaran sudah. Mungkin orang tarbawi melihat tarbiah dalam bentuk penyucian jiwa, pembersihan hati, melahirkan nuqaba’ dan orang yang cintakan usrah. Orang ekonomi pula melihat tarbiah perlu untuk melahirkan usahawan muslim yang Berjaya.

Semuanya betul, tak ada yang salahnya. Mungkin istilah terbaik boleh kita gunakan adalah, tarbiah adalah untuk melahirkan pakar. Pakar ekonomi, pakar nuqaba’, pakar kaunselor, pakar dalam bidang pendidikan, pakar politik, pakar pengurusan, dan macam-macamlah. Jangan jadi pakar pencuri sudah.

Tarbiah pada saya adalah juga bertujuan melahirkan orang yang mampu melakukan sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Saya berkongsi dengan beberapa sahabat, kalau saya bekerja dengan kerajaan, atau bekerja dengan syarikat swasta, atau bekerja dengan Jawi dan Jakim, atau menjadi pensyarah ayang ada usrahnya, maka kehidupan seperti itu adalah kehidupan yang biasa dan tidak mencabar. Saya mesti memilih kehidupan yang mencabar.

Lalu saya gagaskan kefahaman, dalam program tamrin, tempat tidur tidak penting, yang penting, dapat tidur. Masa makan tidak penting, yang penting adalah makan. Ceramah juga tidak penting, yang penting adalah kefahaman dan kesedaran.

Apabila saya berbincang dengan rakan-rakan saya, RO dan Abang Syaari, kami merasakan pendekatan metode tarbiah dalam program juga perlu diubah. Jika kita ingin melahirkan pemidato yang berkarismatik, kita perlu tahu bahawa ada dua penghalang utama untuk menjadi pemidato berkarismatik, iaitu sifat malu dan tiada maklumat. Maklumat boleh dicari, tetapi bagaimana ingin memecahkan rasa malu yang menebal itu.

Ah, kita kira senang saja. Lempar sahaja peserta ke pasar malam, nah, kamu berceramah sorang-sorang di situ. Atau terus letakkan dia sebagai pengkuliah, atau berceramah di hadapan ribuan orang bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pasti selepas itu, jika kena dengan cara, dia akan jadi orang yang tidak senang hati jika tidak bercakap di khayalak.

Ya, tarbiah untuk melahirkan pakar. Ingat, bukan lagi melahirkan nuqaba’ dan meneruskan tradisi dulu yang tidak sudah-sudah, tetapi melahirkan pakar untuk memerintah negara, malah dunia.

"Peranan???"




Saya bersama rakan-rakan hari tu mendengar satu kuliah bertajuk “Peranan Anak Muda Masa Kini”. Begitulah lebih kurang bunyi tajuknya. Tak kisahlah apa bunyi tajuknya, sama ada peranan anak muda atau mahasiswa, yang pentingnya ia membincangkan tentang peranan generasi yang masih muda. Tajuknya menarik, dan penyampainya juga merupakan orang yang sangat layak untuk membentangkannya.

Saya ada memberikan pandangan saya. Ya begitulah, setiap orang berhak memberikan pandangan masing-masing, jika diterima beristighfar dan jika ditolah bersyukurlah. Nanti kalau idea itu diterima, tengok-tengok memberikan kesan buruk, ha bukankah ia terpalit sedikit sebanyak kepada kita. Ini kaedah tasawuf yang boleh kita amalkan.

Saya menyatakan bahawa sekarang bukan masa untuk bincang tentang apa peranan kita. Tajuk tentang peranan ni kalau tidak silap saya selalu saya dengan tiap-tiap tahun. Masa tahun satu, saya dengar tajuk peranan. Masa tahun dua, saya dengar tajuk peranan. Masuk tahun tiga pun begitu. Saya ingat tajuk peranan ni akan berakhir, rupanya setelah saya menamtkan pengajian pun masih ada tajuk peranan. Nasib baik tidak ada tajuk peranan suami yang mithali je. Kalau tidak, sara rasa pasti ramai muslimin yang datang program malam tu.

Lepas tu, sering kali juga saya dengar pimpinan-pimpinan berceramah tentang peranan. Saya bukan menafikan tajuk peranan, tetapi saya tengok kita hanya mengetahui peranan tetapi kita tidak berperanan pun. Kita tahu mengapa kita mesti berperanan, tetapi kita masih bergoyang kaki. Lagipun tajuk peranan bagi saya tidak perlu diperbanyakkan. Bagi saya kita perlu membincangkan wacana-wacana ilmu yang lebih berat sifatnya. Lalu saya mencadangkan perbincangan tajuk tentang isu bahasa, isu ketuanan bangsa, isu pendidikan, memahami system politik Malaysia, mencermati kepimpinan Putin yang unggul, meneladani perkembangan dan kemajuan China dan kelantangan Korea Utara, mempelajari kebijakan Jepun dan banyak lagi tajuk-tajuk yang boleh membuka mata.

Ya, pembentangan Cikgu Azmi tentang kenaikan harga minyak menarik. Barulah kita tidak semborono menuduh kerajaan dengan peluru kosong, tetapi biarlah ia bermaklumat dan berpandu. Nah, siapa pula yang mampu memberikan pandangan yang baik tentang Halal Hub dan isu nuclear Iran? Semua ini menuntut kepada penguasaan ilmu dan pengetahun yang baik.

Saya ingat, kadang-kadang lucu apabila memikirkan masih terdapat kalangan kita membincangkan perkara-perkara yang remeh. Anwar Ibrahim sedang berfikir untuk menguasai Malaysia sedangkan kita masih merangkak-merangkak membincangkan isu taaddud jamaah. Saya kira tidak perlu lagi membincangkan isu-isu basic secara menyusahkan sebaliknya perbincangan kita mesti jadi lebih meluas. Bukan soal taaddud jamaah yang menjadi keutamaan sebaliknya soal tahalluf dengan bangsa dan agama lain yang mesti diperhalusi. Itupun tidak perlu dijadikan perbincangan dalam bentuk emosional sebaliknya ia mesti secara ilmiah dan meraikan kelemahan rakan tahalluf.

Makanya, saya fikirkan tinggalkan saja tajuk peranan, tetapi kita mesti mula bergerak lebih laju, bukan lagi merangkak perlahan-lahan.